Filled Under:

Video Serangan Siamang Di Zoo Melake | Budak 3 Tahun


Semalam, kite digemparkan dengan berita mengenai seorang budak yang berumur 3 tahu telah diserang oleh seekor siamang di zoo melaka. Admin harap, pihak zoo tersebut dapat membayar ganti rugi dekat secukupnya. Untuk lebih info, boleh baca kat bawah ni.


Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun parah pada betis kanan selepas diserang seekor siamang dipercayai seberat 38 kilogram ketika sedang bersiar-siar bersama keluarganya di Zoo Melaka, Ayer Keroh, dekat sini, petang kelmarin.




Muhammad Afiq diserang siamang di Zoo Melaka
Akibat kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Muhammad Afiq Haziq Kamarul, terpaksa menjalani pembedahan selama kira-kira tiga jam di Hospital Melaka (HM), selepas betisnya dilaporkan hampir hancur digigit haiwan itu.


Ketika dikunjungi di Hospital Melaka petang semalam, anak keenam daripada tujuh beradik berasal dari Klang, Selangor ini, dilihat masih lemah dan seolah-olah dalam ketakutan.

Ibunya, Anita Sulaiman, 36, berkata beliau sekeluarga tidak menyangka berdepan detik paling mencemaskan kerana menganggap haiwan di zoo terbabit jinak dan tidak membahayakan kerana dibiar bebas di kawasan laluan pengunjung.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga sedang berjalan untuk melihat kawasan menempatkan burung dan tidak bercadang melihat siamang atau nama saintifiknya hylobates syndactalus.

“Dalam sekelip mata, sekumpulan pengunjung berhampiran haiwan itu kelihatan bertempiaran lari dan berteriak meminta tolong dan tidak lama selepas itu, haiwan ini meluru ke arah Muhammad Afiq dan menyerangnya. 

“Saya menjerit terkejut dan suami yang awalnya tidak menyedari kejadian itu bertindak pantas memegang kepala haiwan itu tetapi ia tetap tidak melepaskan gigitan pada kaki Muhammad Afiq.

“Gigitan itu hanya dilepaskan selepas seorang pengunjung berhampiran menendang perut haiwan itu,” katanya ketika ditemui di wad kanak-kanak HM, petang semalam.

Anita yang datang ke negeri ini bagi menghadiri majlis kenduri kakaknya di Semabok berkata, beliau dan suaminya membawa Muhammad Afiq ke pejabat Zoo Melaka untuk mendapatkan bantuan rawatan, sebelum diarah membawa mangsa ke klinik kesihatan tetapi kes itu dirujuk ke HM kerana kecederaan dialami serius.

“Anak saya dibedah bermula jam 9 pagi tadi (semalam) dan selesai tiga jam kemudian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd Arop dalam kenyataan media kepada Berita Harian petang semalam, memohon maaf kepada keluarga mangsa atas kejadian itu.

“Zoo Melaka turut bersedih dengan kejadian menimpa Muhammad Afiq dan bersedia membantu termasuk menanggung kos rawatannya,” katanya.

Masri berkata, ini kejadian pertama berlaku di Zoo Melaka dan siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti puncanya, manakala haiwan itu sudah ditangkap dan diasingkan untuk kuarantin.