The Arcade Hotel – Hotel Pertama Khas Untuk Penggemar Permainan Komputer

Hotel mewah di seluruh dunia selalunya dilengkapi dengan skrin LED gergasi, WiFi percuma dan bilik air yang besar. Dari pengalaman peribadi kami menginap di hotel-hotel mewah seluruh dunia ketika melakukan tugasan, bilik-bilik hotel ini dilengkapi dengan keperluan golongan perniagaan. Kerap kali ketika keseorangan di dalam bilik, kami berharap ada perkhidmatan menyewa konsol permainan komputer untuk menghilangkan kebosanan.


The Arcade Hotel di Amsterdam ialah hotel pertama yang direka untuk penggemar permainan komputer. Hotel 36 bilik ini dilengkapi dengan konsol permainan klasik seperti Super Nintendo, Atari, Xbox dan PlayStation. Pelanggan boleh menyewa permainan dari koleksi hotel. Kepada penggemar permainan mudah alih pula,restoran di lobi dilengkapi permainan mudah alih seperti GameBoy dan Tetris yang boleh dimainkan tanpa bayaran. Selain koleksi konsol dan permainan komputer. The Arcade Hotel juga mempunyai perpustakaan yang dipenuhi dengan komik yang turut boleh dipinjam. Pendek kata ini adalah hotel yang mensasarkan golongan geek yang bercuti.


Sumber: The Arcade Hotel



Maxis Menawarkan Diskaun RM5 Untuk Pembelian Pertama Di Play Store Untuk Tempoh Terhad

Maxis telah memperkenalkan sokongan pembelian aplikasi menggunakan kredit prabayar atau pascabayar sejak beberapa minggu lepas – dan kini dalam menarik lebih ramai menggunakannya, Maxis menawarkan diskaun sebanyak RM5 untuk pembelian pertama menggunakan Maxis Billing pada Google Play Store.

Maxis Billing membolehkan pengguna membuat pembelian aplikasi atau sebarang kandungan pada Google Play Store menggunakan kredit prabayar atau pascabayar – dan tidak lagi perlu bergantung kepada kad kredit atau kad debit. Ini memudahkan lagi pengguna membuat pembelian pada Play Store.


Untuk tempoh terhad sempena pengenalannya, daripada 22 Januari sehingga 21 Februari 2016, pihak Maxis menawarkan diskaun sebanyak RM5 untuk setiap pembelian pertama pada Google Play Store menggunakan Maxis Billing. Pembelian ini termasuk aplikasi, filem, buku, dan juga pembelian dalam-aplikasi.

Untuk menggunakannya, ketika proses pembayaran, anda hanya perlu memilih untuk membuat pembayaran menggunakan Maxis Billing. Untuk pengguna prabayar, anda dikehendaki untuk mempunyai langganan internet mingguan atau bulanan terlebih dahulu, sementara pengguna pascabayar boleh membuat pembelian tanpa sebarang langganan.

`

Sumber: MAXIS



iPhone Bersaiz 4-inci Bakal Dikenali Dengan Nama iPhone 5se – Dijangka Hadir Pada Bulan Mac

Desas-desus berkenaan dengan iPhone bersaiz 4-inci telah kedengaran beberapa kali sebelum ini, dan kini beberapa maklumat lanjut berkaitan dengannya kedengaran. Apple dijangka memperkenalkannya pada bulan Mac 2016 ini, dan ia dijangka dikenali dengan nama iPhone 5se.

Nama berkenaan dikatakan mungkin menjadi nama akhir untuk iPhone bersaiz 4-inci – memberikan petanda sebagai iPhone “Special Edition” ataupun pada masa yang sama memberikan petanda sebagai iPhone 5s “Enhanced”.


Pada masa yang sama, ia turut dikatakan gambar yang tertiris beberapa hari yang lepas adalah tidak benar – dan ia dijangka membawakan rekabentuk seumpama iPhone 5s sebelum ini, dan hadir dengan spesifikasi yang dinaik-taraf.

iPhone 5se ini dijangka bakal menyertakan kamera belakang 8-megapixel dan kamera hadapan 1.2-megapixel. Telefon pintar ini dijangka menyertakan Barometer terbina, selain cip NFC untuk sokongan pembayaran Apple May. Ia bakal dijana menggunakan cip A8 dan M8 seumpama pada iPhone 6, selain turut mengintegrasikan fungsi rakaman gambar Live Photos seumpama iPhone 6s.

Apple dikatakan akan menamatkan jualan iPhone 5s dan iPhone 5se akan mengambil-alih tempatnya, serta menawarkan harga jualan lebih kurang menyerupai iPhone 5s pada hari ini.

iPhone 5se ini dijangka diperkenalkan pada bulan Mac, dan dijual lebih kurang sebulan selepasnya.

Sumber; 9to5mac



LinkedIn: 25 Kemahiran Kerja Yang Popular Dan Mungkin Dicari Majikan Pada Awal 2016


LinkedIn merupakan salah satu laman sosial popular yang memfokuskan golongan bekerjaya dan profesional. Melalui data pada laman mereka, ia membolehkan beberapa analisa dilakukan, termasuk kemahiran yang menjadi fokus pelbagai syarikat dalam pencarian pekerja baru untuk syarikat mereka.

LinkedIn mengatakan mereka telah mengumpulkan data berkaitan kemahiran yang menjadi fokus utama sepanjang penghujung tahun lepas – yang mana mungkin masih kekal relevan untuk awal tahun 2016 ini.


Dengan perkembangan arena perkomputeran dan web, salah satu kemahiran utama yang menjadi fokus pelbagai syarikat adalah kemahiran berkaitan dengan perkomputeran awan. Ia dikatakan kemahiran ini memperlihatkan lonjakan tinggi pada tahun 2015 dengan ramai pengguna mula menyenaraikan kemahiran berkenaan, sekaligus memperlihatkan penerimaan di pasaran.

Kebiasaannya, di LinkedIn, pengguna boleh menyenaraikan kemahiran mereka pada profil, memudahkan syarikat lain menghubungi anda untuk menyertai syarikat mereka. LinkedIn mengumpulkan data ini dalam memperlihatkan permintaan sesuatu kemahiran dalam pasaran.

Selain daripada berkaitan perkomputeran awan, kemahiran berkaitan dengan analisa data, pemasaran web, kemahiran pembangunan mudah-alih, sekuriti rangkaian, dan sebagainya turut mempunyai permintaan yang tinggi dikalangan majikan.

Seperti biasa, berkemungkinan terdapat kemahiran lain tidak disenaraikan tetapi tidak bermakna ia tidak mempunyai permintaan yang tinggi. Walaubagaimanapun, dengan perkembangan arena teknologi, ramai digalakkan untuk mempelajari pelbagai perkara baru dari hari ke hari.

LinkedIn sendiri sebelum ini telah mengambil-alih Lynda – dan anda boleh menggunakan platform berkenaan dalam menambah kemahiran baru setiap hari. Selain Lynda, terdapat pelbagai platform dan web lain yang mengajar pengguna untuk menambah ilmu baru dari semasa ke semasa.

Sumber: LINKEDIN



Bunga Pertama Mekar Di Angkasa – Membuka Ruangan Kepada Pelbagai Kajian Kehidupan Di Angkasa

Membuat pembiakkan tumbuhan di angkasa merupakan salah satu cabaran baru, apatah lagi dengan usaha membuka habitat baru di planet Marikh. Terkini, salah seorang angkasawan telah berkongsi gambar untuk bunga pertama yang tumbuh di angkasa – atau lebih tepat lagi, di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).


NASA dan para angkasawan telah memilih bunga daripada keluarga zinnia dalam usaha memudahkan mereka memahami proses tumbesaran bunga yang hidup di mikro-graviti.

Usaha menanam bunga di angkasa telah dimulakan sejak penghujung tahun lepas, dimana pada awalnya mereka menghadapi beberapa masalah berkaitan mengawal kadar air dan beberapa perkara lain.

Lanjutan daripada usaha ini, NASA juga dilihat akan berusaha untuk menanam kubis Cina di angkasa pada tahun ini.



Rekaan Dikatakan LG G5 Tertiris

LG sudahpun mengumumkan mereka akan memperlihatkan peranti terbaru mereka di MWC 2016 Februari hadapan. Peranti utama mereka ini akan bersaing dengan Samsung Galaxy S7 yang turut disahkan akan dilancarkan pada waktu yang sama. Kini rekaan skematik yang didakwa LG G5 tertiris. Ianya mempunyai sebuah pengimbas cap jari pada panel belakang. Butang suara tidak lagi terletak pada bahagian belakang tetapi kini di sisi kanan peranti. Ura-ura lain yang didengari ialah ianya akan mempunyai tubuh logam sepenuhnya. Skrin peranti kekal 5.5″, diperkasakan pemproses Snapragon 820 dan masih mempunyai bateri yang boleh ditanggalkan. Adakah perubahan rekaan ini baik untuk LG? Apakah pendapat anda?


Sumber: Android Authority



Asus Zenfone 2 Deluxe SE Berharga RM1799 – Storan 128GB, 4GB RAM, 2.5GHz

Asus Malaysia agak aktif seminggu dua ini. Selepas memperkenalkan Asus Zenfone Zoom dan Zenfone Max diperkenalkan di Malaysia, hari ini mereka turut telah mengumumkan Asus Zenfone 2 Deluxe Special Edition untuk pasaran Malaysia.

Pada awalnya, peranti ini dijadualkan untuk pelancaran pada tahun lepas, tetapi kini dibawa untuk pada awal 2016.


Asus Zenfone 2 Deluxe Special Edition membawakan sedikit pembaharuan berbanding dengan versi Deluxe biasa. Ia kini membawakan bahagian kerangka belakang dengan rekaan yang lebih menarik – termasuk pilihan rekaan Carbon Night atau Drift Silver. Pihak Asus turut menyertakan satu lagi kerangka tambahan pada pembelian untuk memudahkan anda mengubahnya bila-bila masa. Antaramuka khusus bertemakan karbon turut disertakan pada peranti ini.

Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi cip empat-teras 2.5Ghz, memori 2GB RAM, dan ruangan storan 128GB. Ia turut disertakan dengan bateri berkapasiti 3000mAh serta pengecasan pantas BoostMaster. Pada peranti ini, pengguna turut boleh menggunakan kad mikro-SD 128GB, sekaligus menjadikan jumlah storan mencapai 256GB. Untuk rakaman gambar, telefon 5.5-inci ini menyertakan kamera belakang 13-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel.

Di Malaysia, Asus Zenfone 2 Deluxe Special Edition dijual pada harga RM1799.



Oppo F1 Akan Dilancarkan Di Malaysia Pada 21 Januari – Telefon Pintar Memfokuskan Selfie

Oppo telah mengumumkan keluarga peranti baru, dinamakan Oppo F sebelum ini, dan peranti pertama dibawahnya, iaitu Oppo F1 bakal dilancarkan di Malaysia secara rasminya pada 21 Januari 2016 ini.

Oppo F1 hadir dengan kamera hadapan 8-megapixel, membolehkan rakaman gambar selfie yang baik dihasilkan menggunakannya. Melengkapkan kamera hadapan juga adalah sokongan perisian Beautify 3.0. Kamera hadapan 8-megapixel ini membawakan apperture f/2.0.



Untuk rakaman kamera belakang, Oppo F1 menggunakan kamera 13-megapixel f/2.2, serta dilengkapi sokongan PDAF (Phase Detection Auto Focus). Sokongan rakaman seperti HDR dan juga RAW turut boleh dilakukan menggunakan kamera belakang ini.

Melengkapkan peranti ini adalah skrin bersaiz 5-inci, cip Snapdragon 616, memori 3GB RAM, dan juga bateri berkapasiti 2500mAh.


Pihak Oppo Malaysia dijangka berkongsi tarikh jualan dan harganya pada 21 Januari 2016 ini.



WhatsApp Kini Percuma Sepenuhnya – Tiada Lagi Yuran Langganan Tahunan

WhatsApp ialah aplikasi pemesejan paling popular di dunia dengan lebih 1 bilion pengguna. Kepopularannya menyebabkan ia dibeli oleh Facebook pada harga $19 Billion. Sebelum ini pengguna perlu membayar yuran tahunan sebanyak $0.99 setahun. Hari ini WhatsApp mengumumkan bahawa yuran tahunan ini tidak lagi akan dikenakan dan perkhidmatan mereka kini percuma sepenuhnya. Kepada pelanggan yang sudah membayar yuran tahunan, tiada pulangan wang akan diberikan.


WhatsApp turut menekankan mereka tidak akan meletakkan iklan di dalam aplikasi ini bagi menjana keuntungan. Sebaliknya mereka akan menjana pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan kepada perniagaan ataupun organisasi tertentu.

Sebagai contoh di masa hadapan WhatsApp boleh digunakan untuk berhubung secara rasmi dengan bank ataupun syarikat penerbangan sebagai saluran perhubungan rasmi. Dengan jumlah pengguna melebihi 1/7 penduduk dunia, WhatsApp ingin menjadi aplikasi pemesejan yang diperlukan dalam kehidupan seharian.



10 Pengeluar Peranti Terbesar Sepanjang 2015 – Apple & Samsung Mengalami Kemerosotan

Tahun 2015 baru sahaja berakhir dan tahun lalu pasaran peranti pintar dunia berkembang sebanyak 10.3% dengan jualan mencecah 1.29 Billion unit. Seperti biasa di akhir tahun senarai 10 pengeluar peranti terbesar dunia akan dikeluarkan oleh Trendforce. Tahun lalu Samsung kekal di tangga pertama dengan pegangan 22.2%. Ini adalah penurunan dari pegangan 24.8% tahun lalu. Apple di tempat kedua dengan 16.8% peratus dan seperti Samsung turut menunjukkan penurunan berbanding 17.5% tahun lalu. Kedua-dua gergasi ini mengalami penyusutan pegangan kerana kebangkitan pengeluar dari China seperti Huawei, Lenovo dan Xiaomi.


Lenovo dan Xiaomi berubah kedudukan berbanding tahun lalu. Statistik menarik ialah Apple dan Samsung berjaya menjual  547 Juta unit peranti. Gabungan pengeluar berasal dari China pula berjaya menjual 539 Juta unit. Jenama China yang dulu dianggap tidak berkualiti dan dipandang rendah kini semakin menghampiri jualan dua syarikat gergasi dunia. Jualan mereka meningkat kerana dominasi di dalam pasaran peranti kelas pertengahan dan permulaan. Hanya dua tahun yang lalu pasaran ini masih didominasi oleh Samsung namum kini kerana harga jualan peranti China yang lebih kompetitif pegangan Samsung semakin longgar menjurus kepada penurunan peratusan pasaran.


Yang menariknya ialah ketiadaan nama besar Sony, HTC , Microsoft dan Blackberry di dalam senarai ini. Sebaliknya Oppo, ZTE, Vivo dan TCL pula muncul. Pada tahun 2016 jualan peranti dari tanah besar dunia dijangkakan akan akhirnya memintas jualan Samsung dan Apple. Adakah suatu hari nanti Huawei dan Lenovo pula akan menjadi raja peranti? Jangan tertawakan ramalan ini kerana pernah suatu ketika ramalan Samsung akan memintas Nokia dan Motorola juga pernah ditertawakan. Kini dua gergasi ini tidak lagi wujud.

Sumber: TrendForce



Airbus Dan Uber Bekerjasama Untuk Perkhidmatan Menempah Helikopter

Uber merupakan salah satu perkhidmatan yang memudahkan para pengguna membuat tempahan kereta untuk dari satu lokasi ke lokasi lain. Di beberapa buah negara, mereka turut telah bereksperimen dengan beberapa jenis pengangkutan yang lain.


Selaras dengan zaman, kini Uber dan Airbus dilaporkan bekerjasama dalam membolehkan penawaran tempahan helikopter melalui platform Uber.

Airbus mempunyai penawaran sewa helikopter yang sangat meluas – malah turut mempunyai operasi di Malaysia. Pihak Airbus mengatakan mereka ingin mencuba projek rintis ini dengan pihak Uber, dan mungkin harga tempahan akan berkurangan dari masa ke semasa.

Kedua-dua pihak dijangka akan memulakan ujian rintis ini di Eropah terlebih dahulu sebelum melihat hasilnya dan memperluaskan ia ke rantau lain.

Sumber: WSJ



Spesifikasi PC Untuk Rise Of The Tomb Raider Diumumkan


Rise of the Tomb Raider ialah sambungan kepada Tomb Raider yang muncul pada tahun 2013. Permainan ini adalah eksklusif untuk konsol Xbox One tahun lalu. Versi PC akan mula dijual  28 Januari ini dan Square Enix mengumumkan spesifikasi PC untuk permainan ini. Aneh sekali mereka hanya mengumumkan spesifikasi minimum. Tiada spesifikasi saranan diberikan. Dari yang anda boleh lihat spesifikasi minimum PC yang diberikan adalah agak rendah kerana hanya memerlukan pemproses Intel Core i3.

Spesifikasi Rise of The Tomb Raider:
Pemproses Paling Minimum: Intel Core i3-2100
Kad Grafik Paling Minimum: Nvidia GTX 650 2GB
AMD HD7770 2GB
RAM Paling Minimum: 6 GB
Ruang Pemasangan: 25 Gigabyte
Sistem Operasi: Windows 7, Windows 8.1, Windows 10 (64-bit)



ESPN e-Sports oleh ESPN Diperkenalkan - Info Dunia e-Sukan

Tahun 2016 ini mungkin kita akan menyaksikan lebih banyak berita dan fokus diberikan dalam arena permainan video dan sukan elektronik. Permulaan tahun 2016 sahaja telah menyaksikan pengambil-alihan Major League Gaming oleh Activision Blizzard, selain Twitter yang hadir dengan @TwitterGaming. Terkini, pihak ESPN telah melancarkan ESPN Esports.


ESPN merupakan salah satu badan konglomerat yang menyiarkan pelbagai berita dan siaran berkaitan sukan, dan penyertaan mereka dalam arena e-sukan merupakan sesuatu yang telah dijangkakan oleh ramai pihak.

Bermula hari ini, mereka menyediakan sebuah laman khusus untuk liputan berkaitan dengan e-sukan, dan dilihat akan lebih memfokuskan liputan berkaitan permainan Dota 2, League of Legends, dan juga Hearthstone.

Pihak ESPN tidak berkongsi sebarang perancangan mereka berkaitan ESPN eSports buat masa ini, tetpai kita boleh menjangkakan liputan dan fokus yang lebih diberikan mereka berkaitan arena ini.

Layari: ESPN eSports



Nokia 230 Dwi-SIM Kini Di Malaysia - Bateri Untuk 22 Hari dan Pada Harga RM269

Bersama-sama pengenalan Lumia 550, pihak Microsoft Malaysia hari ini turut mengumumkan pengenalan telefon bimbit Nokia 230 untuk pasaran Malaysia, yang mana hadir dengan sokongan dwi-SIM. Telefon bimbit berinternet ini boleh didapati di Malaysia pada harga RM269.

Nokia 230 ini dijana menggunakan sistem operasi Nokia Series 30+, dan ia hadir dengan sokongan kamera berlampu pada bahagian hadapan dan juga belakang. Ini membolehkan anda merakamkan gambar dengan jelas pada pelbagai keadaan. Kamera hadapan dan belakang yang disertakan adalah kamera 2-megapixel.


Melalui Nokia 230 juga, pengguna boleh mengakses kepada beberapa aplikasi, termasuk Twitter, Facebook dan juga GroupMy Skype.

Untuk paparan, ia menyertakan skrin berwarna bersaiz 2.8-inci, didatangkan dengan sokongan kad memori sehingga 32GB, serta menyertakan Opera Store untuk memuat-turun pelbagai aplikasi.

Nokia 230 menawarkan masa panggilan selama 23 jam, dan ia mempunyai masa bertahan selama 22 hari.

Pengguna yang berminat boleh mendapatkan peranti ini daripada para pengedar rasmi Microsoft seluruh negara pada harga RM269.



Asus Zenfone Max - Bateri 5000mAh kini di Malaysia

Asus Malaysia semalam telah melancarkan Zenfone Zoom, dan hari ini mengumumkan satu lagi peranti baru untuk pasaran tempatan, iaitu Asus Zenfone Max. Melalui Zenfone Max, Asus memfokuskan kepada penawaran bateri berkapasiti besar, iaitu sehingga 5000mAh.


Melalui bateri yang besar ini, ia menawarkan masa penggunaan yang lebih lama – malah anda juga turut boleh menggunakannya sebagai powerbank untuk mengecas peranti lain. Asus mengatakan melalui bateri berkapasiti 5000mAh, ia mampu menyimpan tenaga dan bertahan selama 38 hari lamanya (tanpa sebarang penggunaan).

Dari segi spesifikasi, Asus Zenfone Max dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 410, memori 2GB RAM, kamera belakang 13-megapixel, dan kamera hadapan 5-megapixel. Ia menggunakan skrin 5.5-inci, serta dijana menggunakan Android 5.0 Lollipop dan antaramuka ZenUI.

Di Malaysia, Asus Zenfone Max ini dijual pada harga RM899, dan boleh didapati daripada pengedar rasmi Asus Malaysia.



Xiaomi Redmi Note 3 - Dengan Snapdragon 650, Kamera 16MP

Xiaomi telah melancarkan Redmi Note 3 pada tahun lepas, dimana menjadi antara peranti terawal mereka dengan sokongan pengimbas cap jari. Versi yang diperkenalkan pada tahun lepas menggunakan cip pemprosesan MediaTek Helio X10, dan hari ini, pihak Xiaomi turut mengumumkan pengenalan satu lagi variasi baru, iaitu dijana menggunakan cip Snapdragon 650.

Seperti versi asal, pihak Xiaomi mengekalkan skrin bersaiz 5.5-inci pada Redmi Note 3 baru ini, dan turut hadir dalam dua pilihan – iaitu menggunakan memori 2GB RAM / 16GB storan ataupun 3GB RAM / 32GB storan.



Pihak Xiaomi selain menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 650, ia juga kini menggunakan kamera 16-megapixel PDAF. Untuk rakaman kamera hadapan pula, ia hadir dengan kamera 5-megapixel.

Bahagian bateri juga membawakan sedikit penambahan, dimana kini ia menggunakan bateri berkapasiti 4050mAh berbanding versi asal 4000mAh. Redmi Note 3 baru ini juga menambah baik sokongan rangkaian dengan menyertakan sokongan 4G+ padanya.

Xiaomi Redmi Note 3 variasi Snapdragon 650 ini membawakan harga jualan yang sedikit mahal, dimana versi 2GB RAM dengan 16GB storan dijual pada harga RMB999 (~RM668).

Jadi, dengan dua variasi berbeza di pasaran hari ini, adakah anda akan memilih versi MediaTek Helio X10 ataupun Snapdragon 650 ini?





8 Lapan Universiti Yang Mempunyai Kelab E-Sukan

Selaras dengan zaman teknologi tinggi pada masa ini, ramai juga marhaen yang kurang gemar bersukan menggunakan fizikal badan tetapi lebih gemar 'bersukan' dihadapan alat permainan canggih seperti PC, PlayStation 4 mahupun Xbox.

Permainan e-Sukan bukan sesuatu yang baru lagi pada masa ini. Boleh dikatakan pelbagai pertandingan telah diadakan di merata dunia bagi melihat atau menilai pasukan e-Sukan manakah antara yang terhebat. Baru-baru ini kita dapat saksikan pertandingan Malaysia Cyber Games 2015, yang diadakan di Stadium Negara. Antara matlamat utama pertandingan itu diadakan adalah untuk mencungkil bakat pemain e-Sukan yang ada di Malaysia. Seterusnya mereka akan mewakili Malaysia dalam e-Sukan yang dinamakan sebagai Taring.

Mata pelajaran e-sukan mungkin masih belum memasuki kurikulum sekolah negara tetapi di beberapa universiti kelab e-sukan sudahpun wujud. Kesemua kelab e-sukan di institut pengajian tinggi ini mempunyai hubungan rasmi dengan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia yang turut dikenali sebagai eSports Malaysia.

Dengan adanya hubungan secara rasmi, pelajar boleh menyertai pertandingan e-sukan yang dianjurkan oleh mereka. Senarai universiti dengan kelab e-sukan mereka sendiri adalah seperti di bawah. Hanya lapan universiti berdaftar dengan eSports Malaysia setakat ini. Dari pengalaman di kolej dahulu, kelab permainan komputer selalunya tidak diiktiraf pihak kolej kerana dikatakan tidak berfaedah. Pernah sekali kami sendiri cuba meminjam dewan kolej untuk pertandingan CS dan Ragnarok tetapi ditolak.Oleh sebab itu pertandingan terpaksa diadakan di medan makan terbuka. Kami gembira melihat perkembangan positif oleh pihak universiti yang nampaknya kini mengiktiraf kelab e-sukan di kolej mereka. Permainan komputer bukan lagi aktiviti anti sosial sebaliknya memupuk kepakaran bekerjasama secara berkumpulan. Adakah kolej anda ada di dalam senarai ini?

  1. UNIRAZAK – UNIRAZAK Esports Club
  2. Swinburne Kuching – Swinburne Esports Club
  3. UNIKL KL Branch – UNIKL Esports Club
  4. TARUC – TARUC Interactive Gaming Society
  5. IIUM – IIUM Esports Club
  6. UNITEN – UNITEN Esports Club
  7. Pending Approval
  8. UITM Shah Alam (kampus-kampus lain bakal menyusul)
  9. Universiti Putra Malaysia


Sumber: ESPORTS MALAYSIA