Filled Under:

10 Pengeluar Peranti Terbesar Sepanjang 2015 – Apple & Samsung Mengalami Kemerosotan

Tahun 2015 baru sahaja berakhir dan tahun lalu pasaran peranti pintar dunia berkembang sebanyak 10.3% dengan jualan mencecah 1.29 Billion unit. Seperti biasa di akhir tahun senarai 10 pengeluar peranti terbesar dunia akan dikeluarkan oleh Trendforce. Tahun lalu Samsung kekal di tangga pertama dengan pegangan 22.2%. Ini adalah penurunan dari pegangan 24.8% tahun lalu. Apple di tempat kedua dengan 16.8% peratus dan seperti Samsung turut menunjukkan penurunan berbanding 17.5% tahun lalu. Kedua-dua gergasi ini mengalami penyusutan pegangan kerana kebangkitan pengeluar dari China seperti Huawei, Lenovo dan Xiaomi.


Lenovo dan Xiaomi berubah kedudukan berbanding tahun lalu. Statistik menarik ialah Apple dan Samsung berjaya menjual  547 Juta unit peranti. Gabungan pengeluar berasal dari China pula berjaya menjual 539 Juta unit. Jenama China yang dulu dianggap tidak berkualiti dan dipandang rendah kini semakin menghampiri jualan dua syarikat gergasi dunia. Jualan mereka meningkat kerana dominasi di dalam pasaran peranti kelas pertengahan dan permulaan. Hanya dua tahun yang lalu pasaran ini masih didominasi oleh Samsung namum kini kerana harga jualan peranti China yang lebih kompetitif pegangan Samsung semakin longgar menjurus kepada penurunan peratusan pasaran.


Yang menariknya ialah ketiadaan nama besar Sony, HTC , Microsoft dan Blackberry di dalam senarai ini. Sebaliknya Oppo, ZTE, Vivo dan TCL pula muncul. Pada tahun 2016 jualan peranti dari tanah besar dunia dijangkakan akan akhirnya memintas jualan Samsung dan Apple. Adakah suatu hari nanti Huawei dan Lenovo pula akan menjadi raja peranti? Jangan tertawakan ramalan ini kerana pernah suatu ketika ramalan Samsung akan memintas Nokia dan Motorola juga pernah ditertawakan. Kini dua gergasi ini tidak lagi wujud.

Sumber: TrendForce