Filled Under:

iPhone SE Diperkenalkan – Bersaiz 4-inci Dengan Kuasa Sama Seperti iPhone 6S

Apple hari ini telah mengambil pentas utama dan mengumumkan telefon pintar terbaru mereka bersaiz 4-inci, iaitu iPhone SE. Ia menawarkan kuasa pemprosesan yang sama seperti iPhone 6S, dan apa yang menjadikannya berbeza adalah saiz telefon berkenaan yang kini lebih selesa ditangan.



Apple iPhone SE ini menawarkan kuasa pemprosesan sama seperti iPhone 6s – iaitu dua kali ganda berbanding iPhone 5s, dan tiga kali ganda kuasa grafik berbanding iPhone 5s. Perkara ini dijayakan dengan menggunakan cip pemprosesan A9 dan juga M9 pada telefon pintar ini.

Untuk rakaman gambar, ia hadir dengan kamera belakang 12-megapixel yang boleh merakamkan gambar yang cantik, serta merakamkan video pada resolusi 4K. Sokongan rakaman seperti Live Photos turut diintegrasikan pada telefon pintar ini.




Apple turut mengintegrasikan sokongan NFC pada telefon pintar ini yang dikhususkan untuk tujuan Apple Pay. Buat masa ini, fungsi Apple Pay masih terhad dibeberapa buah negara sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah Apple akan membawanya masuk ke pasaran Malaysia.

 


Dari segi storan, agak mendukacitakan kerana Apple masih mengekalkan storan 16GB – sementara pelbagai pengeluar lain telah beralih kepada storan asas 32GB pada peranti mereka. Namun, mungkin langkah ini adalah kaedah Apple dalam mengekalkan harga jualan peranti yang rendah dan mengalakkan pengguna menggunakan iCloud daripada mereka.

Apple mengatakan iPhone SE ini akan dijual di lebih 110 buah negara sebelum penghujung Mei 2016 ini.