Snapdragon 820 Kini Pemproses Paling Berkuasa Menggantikan Apple A9


Pemproses paling berkuasa tahun 2015 ialah Apple A9 yang memperkasakan peranti keluarga iPhone 6S. Pemproses empat teras ini dengan mudah mengalahkan pesaing terdekatnya Kirin 950. Kita baru sahaja memasuki bulan Februari dan akhirnya wujud pemproses yang berjaya mengalahkan Apple A9. Pemproses Snapdragon 820 yang digunakan pada sebuah Samsung Galaxy S7 mencatatkan 125 288 markah menggunakan penanda aras Antutu.


Markah rasmi ini dimuat turun sendiri di laman Weibo Antutu. Sebagai perbandingan Apple A9 mencatatkan 123567 markah, Kirin 950 mencatatkan 92726 markah dan Snapdragon 810 hanya mencatatkan 81049 markah. Kedudukan Snapdragon 820 ini mungkin hanya akan bertahan untuk jangka masa yang pendek kerana Exynos 8890 yang turut digunakan pada Galaxy S7 dijangkakan lebih berkuasa. Sama-samalah kita nantikan keputusan rasmi.

Sumber: Weibo Antutu



Bill Gates – Harta Mencecah RM 380 Billion

William Henry Gates III atau lebih dikenali sebagai Bill Gates mengekalkan kedudukan sebagai manusia terkaya di dunia. Senarai terbaru yang dihasilkan oleh Wealth-X menunjukkan beliau mempunyai harta berjumlah $ 84.7 Billion (~RM 381 Billion) sehingga penghujung 2015. Ini adalah peningkatan dari $79.2 Billion tahun lalu. Di tempat kedua ialah Amancio Ortega, hartawan Sepanyol yang merupakan pengasas rangkaian kedai baju berjenama Zara yang hanya mempunyai harta berjumlah $66.8 Billion.


Senarai 10 individu terkaya 2016 adalah seperti di bawah dan seperti yang anda boleh lihat ia dipenuhi dengan indvidu-individu yang terlibat di dalam bidang teknologi seperti Jeff Bezos (Amazon), Larry Ellison (Oracle) dan Mark Zuckerberg (Facebook). Kekayaan mereka ini boleh dijadikan inspirasi untuk mengejar kejayaan di dunia menggunakan titik peluh serta kepintaran diri kita sendiri tanpa mengharap sebarang derma. Janganlah berputus asa kerana sekiranya gagal mencapai kemewahan duniawi, kita masih boleh mengejar kemewahan akhirat. Insya Allah.

Senarai 10 Manusia Terkaya Di Dunia

  1. Bill Gates $87.4 Billion - Microsoft
  2. Amancio Ortega $66.8 Billion - ZARA
  3. Warren Buffett $60.7 Billion
  4. Jeff Bezos $56.6 Billion - Amazon
  5. David Koch $47.4 Billion
  6. Charles Koch $46.8 Billion
  7. Larry Ellison $45.3 Billion - Oracle
  8. Mark Zuckerberg $42.8 Billion - Facebook
  9. Michael Bloomberg $42.1 Billion - Bloomberg
  10. Ingvar Kamprad $39.3 Billion - IKEA
Sumber: Bussiness Insider



The Arcade Hotel – Hotel Pertama Khas Untuk Penggemar Permainan Komputer

Hotel mewah di seluruh dunia selalunya dilengkapi dengan skrin LED gergasi, WiFi percuma dan bilik air yang besar. Dari pengalaman peribadi kami menginap di hotel-hotel mewah seluruh dunia ketika melakukan tugasan, bilik-bilik hotel ini dilengkapi dengan keperluan golongan perniagaan. Kerap kali ketika keseorangan di dalam bilik, kami berharap ada perkhidmatan menyewa konsol permainan komputer untuk menghilangkan kebosanan.


The Arcade Hotel di Amsterdam ialah hotel pertama yang direka untuk penggemar permainan komputer. Hotel 36 bilik ini dilengkapi dengan konsol permainan klasik seperti Super Nintendo, Atari, Xbox dan PlayStation. Pelanggan boleh menyewa permainan dari koleksi hotel. Kepada penggemar permainan mudah alih pula,restoran di lobi dilengkapi permainan mudah alih seperti GameBoy dan Tetris yang boleh dimainkan tanpa bayaran. Selain koleksi konsol dan permainan komputer. The Arcade Hotel juga mempunyai perpustakaan yang dipenuhi dengan komik yang turut boleh dipinjam. Pendek kata ini adalah hotel yang mensasarkan golongan geek yang bercuti.


Sumber: The Arcade Hotel



Maxis Menawarkan Diskaun RM5 Untuk Pembelian Pertama Di Play Store Untuk Tempoh Terhad

Maxis telah memperkenalkan sokongan pembelian aplikasi menggunakan kredit prabayar atau pascabayar sejak beberapa minggu lepas – dan kini dalam menarik lebih ramai menggunakannya, Maxis menawarkan diskaun sebanyak RM5 untuk pembelian pertama menggunakan Maxis Billing pada Google Play Store.

Maxis Billing membolehkan pengguna membuat pembelian aplikasi atau sebarang kandungan pada Google Play Store menggunakan kredit prabayar atau pascabayar – dan tidak lagi perlu bergantung kepada kad kredit atau kad debit. Ini memudahkan lagi pengguna membuat pembelian pada Play Store.


Untuk tempoh terhad sempena pengenalannya, daripada 22 Januari sehingga 21 Februari 2016, pihak Maxis menawarkan diskaun sebanyak RM5 untuk setiap pembelian pertama pada Google Play Store menggunakan Maxis Billing. Pembelian ini termasuk aplikasi, filem, buku, dan juga pembelian dalam-aplikasi.

Untuk menggunakannya, ketika proses pembayaran, anda hanya perlu memilih untuk membuat pembayaran menggunakan Maxis Billing. Untuk pengguna prabayar, anda dikehendaki untuk mempunyai langganan internet mingguan atau bulanan terlebih dahulu, sementara pengguna pascabayar boleh membuat pembelian tanpa sebarang langganan.

`

Sumber: MAXIS



iPhone Bersaiz 4-inci Bakal Dikenali Dengan Nama iPhone 5se – Dijangka Hadir Pada Bulan Mac

Desas-desus berkenaan dengan iPhone bersaiz 4-inci telah kedengaran beberapa kali sebelum ini, dan kini beberapa maklumat lanjut berkaitan dengannya kedengaran. Apple dijangka memperkenalkannya pada bulan Mac 2016 ini, dan ia dijangka dikenali dengan nama iPhone 5se.

Nama berkenaan dikatakan mungkin menjadi nama akhir untuk iPhone bersaiz 4-inci – memberikan petanda sebagai iPhone “Special Edition” ataupun pada masa yang sama memberikan petanda sebagai iPhone 5s “Enhanced”.


Pada masa yang sama, ia turut dikatakan gambar yang tertiris beberapa hari yang lepas adalah tidak benar – dan ia dijangka membawakan rekabentuk seumpama iPhone 5s sebelum ini, dan hadir dengan spesifikasi yang dinaik-taraf.

iPhone 5se ini dijangka bakal menyertakan kamera belakang 8-megapixel dan kamera hadapan 1.2-megapixel. Telefon pintar ini dijangka menyertakan Barometer terbina, selain cip NFC untuk sokongan pembayaran Apple May. Ia bakal dijana menggunakan cip A8 dan M8 seumpama pada iPhone 6, selain turut mengintegrasikan fungsi rakaman gambar Live Photos seumpama iPhone 6s.

Apple dikatakan akan menamatkan jualan iPhone 5s dan iPhone 5se akan mengambil-alih tempatnya, serta menawarkan harga jualan lebih kurang menyerupai iPhone 5s pada hari ini.

iPhone 5se ini dijangka diperkenalkan pada bulan Mac, dan dijual lebih kurang sebulan selepasnya.

Sumber; 9to5mac



LinkedIn: 25 Kemahiran Kerja Yang Popular Dan Mungkin Dicari Majikan Pada Awal 2016


LinkedIn merupakan salah satu laman sosial popular yang memfokuskan golongan bekerjaya dan profesional. Melalui data pada laman mereka, ia membolehkan beberapa analisa dilakukan, termasuk kemahiran yang menjadi fokus pelbagai syarikat dalam pencarian pekerja baru untuk syarikat mereka.

LinkedIn mengatakan mereka telah mengumpulkan data berkaitan kemahiran yang menjadi fokus utama sepanjang penghujung tahun lepas – yang mana mungkin masih kekal relevan untuk awal tahun 2016 ini.


Dengan perkembangan arena perkomputeran dan web, salah satu kemahiran utama yang menjadi fokus pelbagai syarikat adalah kemahiran berkaitan dengan perkomputeran awan. Ia dikatakan kemahiran ini memperlihatkan lonjakan tinggi pada tahun 2015 dengan ramai pengguna mula menyenaraikan kemahiran berkenaan, sekaligus memperlihatkan penerimaan di pasaran.

Kebiasaannya, di LinkedIn, pengguna boleh menyenaraikan kemahiran mereka pada profil, memudahkan syarikat lain menghubungi anda untuk menyertai syarikat mereka. LinkedIn mengumpulkan data ini dalam memperlihatkan permintaan sesuatu kemahiran dalam pasaran.

Selain daripada berkaitan perkomputeran awan, kemahiran berkaitan dengan analisa data, pemasaran web, kemahiran pembangunan mudah-alih, sekuriti rangkaian, dan sebagainya turut mempunyai permintaan yang tinggi dikalangan majikan.

Seperti biasa, berkemungkinan terdapat kemahiran lain tidak disenaraikan tetapi tidak bermakna ia tidak mempunyai permintaan yang tinggi. Walaubagaimanapun, dengan perkembangan arena teknologi, ramai digalakkan untuk mempelajari pelbagai perkara baru dari hari ke hari.

LinkedIn sendiri sebelum ini telah mengambil-alih Lynda – dan anda boleh menggunakan platform berkenaan dalam menambah kemahiran baru setiap hari. Selain Lynda, terdapat pelbagai platform dan web lain yang mengajar pengguna untuk menambah ilmu baru dari semasa ke semasa.

Sumber: LINKEDIN



Bunga Pertama Mekar Di Angkasa – Membuka Ruangan Kepada Pelbagai Kajian Kehidupan Di Angkasa

Membuat pembiakkan tumbuhan di angkasa merupakan salah satu cabaran baru, apatah lagi dengan usaha membuka habitat baru di planet Marikh. Terkini, salah seorang angkasawan telah berkongsi gambar untuk bunga pertama yang tumbuh di angkasa – atau lebih tepat lagi, di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).


NASA dan para angkasawan telah memilih bunga daripada keluarga zinnia dalam usaha memudahkan mereka memahami proses tumbesaran bunga yang hidup di mikro-graviti.

Usaha menanam bunga di angkasa telah dimulakan sejak penghujung tahun lepas, dimana pada awalnya mereka menghadapi beberapa masalah berkaitan mengawal kadar air dan beberapa perkara lain.

Lanjutan daripada usaha ini, NASA juga dilihat akan berusaha untuk menanam kubis Cina di angkasa pada tahun ini.



Rekaan Dikatakan LG G5 Tertiris

LG sudahpun mengumumkan mereka akan memperlihatkan peranti terbaru mereka di MWC 2016 Februari hadapan. Peranti utama mereka ini akan bersaing dengan Samsung Galaxy S7 yang turut disahkan akan dilancarkan pada waktu yang sama. Kini rekaan skematik yang didakwa LG G5 tertiris. Ianya mempunyai sebuah pengimbas cap jari pada panel belakang. Butang suara tidak lagi terletak pada bahagian belakang tetapi kini di sisi kanan peranti. Ura-ura lain yang didengari ialah ianya akan mempunyai tubuh logam sepenuhnya. Skrin peranti kekal 5.5″, diperkasakan pemproses Snapragon 820 dan masih mempunyai bateri yang boleh ditanggalkan. Adakah perubahan rekaan ini baik untuk LG? Apakah pendapat anda?


Sumber: Android Authority



Asus Zenfone 2 Deluxe SE Berharga RM1799 – Storan 128GB, 4GB RAM, 2.5GHz

Asus Malaysia agak aktif seminggu dua ini. Selepas memperkenalkan Asus Zenfone Zoom dan Zenfone Max diperkenalkan di Malaysia, hari ini mereka turut telah mengumumkan Asus Zenfone 2 Deluxe Special Edition untuk pasaran Malaysia.

Pada awalnya, peranti ini dijadualkan untuk pelancaran pada tahun lepas, tetapi kini dibawa untuk pada awal 2016.


Asus Zenfone 2 Deluxe Special Edition membawakan sedikit pembaharuan berbanding dengan versi Deluxe biasa. Ia kini membawakan bahagian kerangka belakang dengan rekaan yang lebih menarik – termasuk pilihan rekaan Carbon Night atau Drift Silver. Pihak Asus turut menyertakan satu lagi kerangka tambahan pada pembelian untuk memudahkan anda mengubahnya bila-bila masa. Antaramuka khusus bertemakan karbon turut disertakan pada peranti ini.

Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi cip empat-teras 2.5Ghz, memori 2GB RAM, dan ruangan storan 128GB. Ia turut disertakan dengan bateri berkapasiti 3000mAh serta pengecasan pantas BoostMaster. Pada peranti ini, pengguna turut boleh menggunakan kad mikro-SD 128GB, sekaligus menjadikan jumlah storan mencapai 256GB. Untuk rakaman gambar, telefon 5.5-inci ini menyertakan kamera belakang 13-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel.

Di Malaysia, Asus Zenfone 2 Deluxe Special Edition dijual pada harga RM1799.



Oppo F1 Akan Dilancarkan Di Malaysia Pada 21 Januari – Telefon Pintar Memfokuskan Selfie

Oppo telah mengumumkan keluarga peranti baru, dinamakan Oppo F sebelum ini, dan peranti pertama dibawahnya, iaitu Oppo F1 bakal dilancarkan di Malaysia secara rasminya pada 21 Januari 2016 ini.

Oppo F1 hadir dengan kamera hadapan 8-megapixel, membolehkan rakaman gambar selfie yang baik dihasilkan menggunakannya. Melengkapkan kamera hadapan juga adalah sokongan perisian Beautify 3.0. Kamera hadapan 8-megapixel ini membawakan apperture f/2.0.



Untuk rakaman kamera belakang, Oppo F1 menggunakan kamera 13-megapixel f/2.2, serta dilengkapi sokongan PDAF (Phase Detection Auto Focus). Sokongan rakaman seperti HDR dan juga RAW turut boleh dilakukan menggunakan kamera belakang ini.

Melengkapkan peranti ini adalah skrin bersaiz 5-inci, cip Snapdragon 616, memori 3GB RAM, dan juga bateri berkapasiti 2500mAh.


Pihak Oppo Malaysia dijangka berkongsi tarikh jualan dan harganya pada 21 Januari 2016 ini.