Asus Malaysia agak aktif seminggu dua ini. Selepas memperkenalkan Asus Zenfone Zoom dan Zenfone Max diperkenalkan di Malaysia, hari ini mereka turut telah mengumumkan Asus Zenfone 2 Deluxe Special Edition untuk pasaran Malaysia.
Pada awalnya, peranti ini dijadualkan untuk pelancaran pada tahun lepas, tetapi kini dibawa untuk pada awal 2016.
Asus Zenfone 2 Deluxe Special Edition membawakan sedikit pembaharuan berbanding dengan versi Deluxe biasa. Ia kini membawakan bahagian kerangka belakang dengan rekaan yang lebih menarik – termasuk pilihan rekaan Carbon Night atau Drift Silver. Pihak Asus turut menyertakan satu lagi kerangka tambahan pada pembelian untuk memudahkan anda mengubahnya bila-bila masa. Antaramuka khusus bertemakan karbon turut disertakan pada peranti ini.
Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi cip empat-teras 2.5Ghz, memori 2GB RAM, dan ruangan storan 128GB. Ia turut disertakan dengan bateri berkapasiti 3000mAh serta pengecasan pantas BoostMaster. Pada peranti ini, pengguna turut boleh menggunakan kad mikro-SD 128GB, sekaligus menjadikan jumlah storan mencapai 256GB. Untuk rakaman gambar, telefon 5.5-inci ini menyertakan kamera belakang 13-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel.
Di Malaysia, Asus Zenfone 2 Deluxe Special Edition dijual pada harga RM1799.